Keratan Akhbar Utusan Online

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM527,850 kepada waris pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus, Nasir Ali, 55, yang meninggal dunia Ogos lalu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah kepada anak sulung Allahyarham, Mohammad Ilyas Nasir, 30 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.

Infografik: Pakej Berlian - RM500 sebulan

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd. Khalid; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop; Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Hong Leong MSIG Takaful, Yassir Azlin Abdul Ghafar serta Pengurus Besar PTPTN Terengganu, Azizah Nasik.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya Shamsul Anuar memberitahu, Allahyarham yang meninggal akibat serangan jantung itu merupakan pendeposit SSPN-i Plus yang membuka akaun sejak Jun 2015 untuk anaknya Muhammad Suhail, 17, di bawah Pakej Berlian dengan simpanan RM500 sebulan.

Katanya, di bawah skim itu, Nasir layak menerima manfaat perlindungan takaful SSPN-i Plus sebanyak RM500,000 diikuti khairat kematian sebanyak RM18,000 bersama nilai tunai bagi simpanan takaful sebanyak RM1,345.51 yang menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM519,345.51.

“Allahyarham semasa hayatnya juga telah membuka akaun SSPN-i sejak Disember 2013 untuk anak yang sama, justeru layak mendapat manfaat takaful dan khairat kematian berjumlah RM8,505.20.

“Walaupun wang bukan pengganti tetapi saya percaya apa yang dilakukan Allahyarham boleh memberi manfaat kepada keluarga,”ujarnya.

Sumber: Utusan Online, 7 Februari 2017