Keratan Akhbar Utusan Malaysia

Seorang suri rumah di Kampung Jelutong Kota, Jalan Salor di sini menerima manfaat takaful Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) sebanyak RM112,557 selepas suaminya meninggal dunia tahun lalu.

Nazlyzawati Mohd. Yusoff, 45, menerima manfaat itu selepas arwah suaminya, Mohd. Salahuddin Ismail membuka lima akaun SSPN-i Plus bagi diri sendiri serta keempat-empat anaknya di bawah Pakej Delima dengan komitmen bulanan sebanyak RM50.

Infografik: Pakej Delima - RM50 sebulan

Melalui penabungan pendidikan itu, arwah dilindungi perlindungan takaful kematian biasa sebanyak RM100,000, khairat kematian RM12,500 dan lebihan caj tabarru RM57.12.

"Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop berkata, Mohd. Salahuddin membuat persediaan membuka kesemua akaun berkenaan enam bulan sebelum meninggal dunia.

“Melalui penabungan pendidikan itu, keluarga waris turut menerima nilai tunai bagi simpanan takaful iaitu sebanyak RM1,155.24 selain daripada tiga pembayaran yang diterima,” katanya di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri, Mohd. Azrul Akmal Mamat. Dalam pada itu, Abdul Ghaffar berkata, PTPTN sebagai sebuah Tabung Pendidikan utama negara sentiasa memikirkan kebajikan pendepositnya.

“Dengan keprihatinan itu, kita mampu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh waris dan anak-anak dalam memastikan masa depan pendidikan lebih terjamin walaupun ibu atau bapa (pendeposit) meninggal dunia atau menghidapi keilatan kekal menyeluruh,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 9 Jun 2018