Keluarga mekanik warisi tunai RM127 Ribu

SSPN Plus

Waris keluarga mendiang, Chai Kwan Boon, 46, yang meninggal dunia akibat penyakit kanser hidung, 8 Januari lalu menerima bayaran manfaat perlindungan takaful SSPN Plus dan khairat kematian sebanyak RM127,680, semalam.

Bayaran itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid kepada anak sulung mendiang, Chai Bao Yi, 20, disaksikan isteri mendiang, Soo Boon Siew, 47.

Menurut Boon Siew, mendiang suaminya sebelum ini bekerja sebagai mekanik telah membuka akaun SSPN Plus pada November 2015 untuk tiga anaknya iaitu Chai Bao Yi, Chai Jing Min, 19, dan Chai Jun Chuen, 14.

Katanya, mendiang suaminya membuka akaun di bawah Pakej Zamrud dengan komitmen bayaran setiap bulan RM200 untuk setiap akaun bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anaknya.

“Saya tahu suami saya menjadi pendeposit SSPN Plus tetapi anak saya baru sahaja tahu selepas suami saya meninggal dunia.

“Suami saya sakit kanser dah lama sejak Disember 2015. Dia buka akaun ini untuk masa depan anak-anak teruskan pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui di Pejabat PTPTN Cawangan Kluang, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis penyerahan berkenaan, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof; Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan Hong Leong MSIG Takaful, Yassir Azlin Abdul Ghafar dan Pengurus Besar negeri, Pejabat PTPTN Johor, Muhammad Faizal Adnan.

Sementara itu, anak sulung mendiang, Bao Yi bersyukur dan tidak menyangka bapanya membuka akaun untuknya dan dua adiknya. Dia yang baru sahaja menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang muzik berhasrat menyambung pelajaran di IPTA dalam bidang sama.

“Ketika ini, saya ambil pengajian muzik dan lebih khusus dalam piano dan kini menjadi guru muzik sementara, mengajar piano kepada kira-kira 10 anak murid.

“Dengan apa yang mendiang bapa tinggalkan kepada kami adik-beradik ini, akan saya gunakan meneruskan pengajian kerana bapa saya dulu selalu ingatkan kami untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Mastura pula berkata, menerusi pakej diambil oleh mendiang, dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian biasa) sebanyak RM120,000 selain khairat kematian diberikan RM7,500 (kematian pendeposit) bersama nilai tunai bagi simpanan takaful RM180.

“Menerusi simpanan SSPN Plus, pendeposit yang membuka akaun sudah membuat persediaan perancangan kewangan bagi pendidikan anak-anak mudah belajar dan tiada masalah kewangan apabila melanjutkan pelajaran sekiranya ibu bapa tidak ada.

“Sejak skim ini dilancarkan pada 8 Jun 2015 hingga 31 Januari 2017, pembukaan akaun SSPN Plus adalah sebanyak 60,655 akaun dengan jumlah deposit terkumpul RM16.2 juta (RM20.4 juta termasuk takaful) dan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM2.9 bilion.

“Sehingga 15 Mac tahun ini, sebanyak 91 tuntutan melibatkan pelbagai kes dengan jumlah RM866,060 diselesaikan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, 25 Mac 2017

 

 

SSPN Plus
Buka Akaun