Waris guru terima RM140 Ribu Takaful SSPN Plus

Hanya rasa syukur dapat diluahkan Muhammad Zulhilmi Rosli, selepas menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian bagi SSPN Plus berjumlah lebih RM140,000, hasil caruman arwah ibunya Normah Ibrahim yang meninggal dunia akibat kanser pada Mac lepas.

Beliau tidak pernah menyangka akan menerima wang sebanyak itu, kerana arwah ibunya yang bekerja sebagai guru tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana ahli keluarga, termasuk bapanya tentang simpanan tersebut.

Bagaimanapun beliau mengakui amat lega kerana wang itu sekurang-kurangnya dapat digunakan bagi membiayai perbelanjaan lima lagi adiknya, yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekolah menengah dan rendah.

“Kami sekeluarga memang tidak tahu menahu tentang simpanan tersebut, sehinggalah terjumpa sampul besar yang mengandungi dokumen tentang tabung SSPN Plus, ketika mengemas bilik arwah."

“Rupa-rupanya arwah ibu telah membuat simpanan perlindungan takaful dan simpanan dengan SSPN Plus untuk kami enam beradik sejak 2017. Tidak dapat kami gambarkan perasaan sedih, apabila memikirkan betapa sayangnya dia (arwah ibu) kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan manfaat perlindungan takaful penabungan SSPN Plus hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat, dengan disaksikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sumber: Malaysia Gazette, 6 Ogos 2020