Baru sebulan arwah suami buka akaun SSPN Plus

SSPN Plus

“Setahu saya arwah baru mencarum hanya sebulan, tidak disangka pulangan adalah sebanyak itu,” kata Sarina Abdul Manap, 40, yang menerima perlindungan takaful Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan SSPN Plus berjumlah RM127,515.12 di Kampung Siliau Tengah, di sini, semalam.

Sarina berkata, arwah suaminya, Muhammad Zaki Abu Hasan, peminjam PTPTN dan mencarum akaun SSPN Plus untuk tiga anak mereka pada Mei lalu.

Katanya, suaminya terkorban selepas terbabit kemalangan motosikal di Batu 8, Jalan Labu, di sini, 19 Jun lalu ketika berusia 39 tahun.

“Saya dihubungi pihak PTPTN, baru-baru ini yang memaklumkan menerima manfaat mewakili arwah. Saya sangkakan jumlah itu tidak sebanyak mana sehinggalah diberitahu ia berjumlah RM127,515.12,” katanya ditemui pada majlis penyerahan takaful itu di rumahnya.

Penyerahan disempurnakan Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop. Hadir sama, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Hong Leong MSIG Takaful, Yassin Azlin Abdul Ghaffar.

Sarina yang juga operator kilang berkata, arwah mengambil langkah bijak mencarum untuk tiga anak mereka, Noor Aiya Batrisha, 11, Syazana Noor Damia, 8, dan Shazlin Noor Zaira yang berusia 2 tahun.

“Arwah memikirkan kepentingan dan masa depan anak-anak. Sesungguhnya dia suami dan bapa yang sangat baik,” katanya memberitahu arwah menyertai Pakej Intan SSPN Plus dengan bayaran RM90 sebulan. Menurutnya, wang yang diterima akan digunakan sebaik mungkin untuk pendidikan dan masa depan tiga anaknya.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, Muhammad Zaki meminjam PTPTN untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Arwah mencarum baru sebulan sebelum terbabit kemalangan.

Katanya, arwah dilindungi manfaat perlindungan takaful RM120,000 bagi tiga akaun anaknya.

Sumber: Harian Metro, 8 November 2017

 

 

SSPN Plus
Buka Akaun