Soalan Lazim mengenai akaun SSPN Plus

  • Apakah Simpan SSPN Plus?
  • SSPN atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional merupakan produk simpanan dari PTPTN bagi tujuan penabungan untuk pendidikan tinggi. Terdapat dua komponen produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime (dahulunya dikenali sebagai SSPN-i) dan Simpan SSPN Plus (dahulunya dikenali sebagai SSPN-i Plus). Simpan SSPN Plus adalah gabungan produk simpanan dari PTPTN dengan manfaat takaful yang disediakan oleh panel Syarikat Pengendali Takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Takaful IKHLAS Family Berhad (TIFB).
  • Adakah Simpan SSPN Plus produk patuh syariah?
  • Ya. Simpan SSPN Plus adalah pelan simpanan yang patuh syariah. Ia menggunakan konsep Wakalah Bil Istithmar bagi simpanan Simpan SSPN Plus iaitu kontrak wakil dan kontrak pelaburan. Manakala bagi skim takaful pula menggunakan konsep Iltizam Bil Al Tabarru. Produk ini telah mendapat pengesahan syariah oleh Islamic Banking and Financial Institution of Malaysia (IBFIM).
  • Apakah pakej yang ditawarkan melalui Simpan SSPN Plus?
  • Simpan SSPN Plus menawarkan enam (6) pilihan pakej iaitu Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam dan Berlian.
  • Apakah keistimewaan Simpan SSPN Plus?
  • Rujuk senarai di Kelebihan dan Keistimewaan.
  • Apakah perbezaan Simpan SSPN Prime dengan Simpan SSPN Plus?
  • Rujuk senarai di Perbezaan SSPN Prime dan SSPN Plus.
  • Saya telah mempunyai akaun Simpan SSPN Prime, adakah saya boleh membuka akaun Simpan SSPN Plus?
  • Boleh. Pendeposit yang telah mempunyai akaun Simpan SSPN Prime boleh membuka akaun Simpan SSPN Plus tanpa perlu menutup akaun Simpan SSPN Prime.
  • Adakah pendeposit yang mempunyai akaun SSPN-i Plus boleh membuka akaun Simpan SSPN Plus?
  • Boleh, dengan syarat akaun yang dibuka melibatkan penerima manfaat berbeza yang tidak mempunyai akaun SSPN-i Plus yang masih aktif. Bagi akaun SSPN-i Plus sedia ada, ianya dipindahkan secara automatik ke akaun Simpan SSPN Plus di bawah Syarikat Pengendali Takaful asal iaitu HLMT.
  • Apakah manfaat takaful yang ditawarkan bagi pakej Simpan SSPN Plus?
  • Manfaat takaful bagi setiap pakej adalah berbeza mengikut Syarikat Pengendali Takaful. Rujuk senarai lengkap di helaian maklumat pakej iaitu Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam dan Berlian.

 

 

  • Siapakah yang layak membuka akaun Simpan SSPN Plus?
  • Syarat bagi Pendeposit:
    1. Warganegara Malaysia;
    2. Mencapai umur 16 tahun sehingga sehari sebelum mencapai umur 69 tahun (GETB) atau umur 65 tahun (HLMT dan TIFB); dan
    3. Boleh membuka akaun untuk diri sendiri (sebagai penerima manfaat) tetapi akaun ini tidak layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan simpanan SSPN.
    Syarat bagi Penerima Manfaat:
    1. Warganegara Malaysia;
    2. Hubungan dengan pendeposit hendaklah sama ada anak kandung, anak tiri atau anak angkat yang sah; dan
    3. Berumur 1 hari sehingga sehari sebelum mencapai umur 29 tahun (layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan simpanan SSPN).
  • Adakah bakal pendeposi perlu membuat pemeriksaan kesihatan ataupun mendapatkan laporan perubatan untuk membuka akaun Simpan SSPN Plus?
  • Tiada sebarang pemeriksaan kesihatan atau laporan perubatan diperlukan untuk membuka akaun ini. Walau bagaimanapun bagi Pakej Berlian, bakal pendeposit perlu menjawab tiga soalan kesihatan yang terdapat pada borang pembukaan akaun. Jika terdapat jawapan "YA" bagi salah satu soalan, bakal pendeposit TIDAK LAYAK menyertai Pakej Berlian dan dinasihatkan untuk menyertai pakej yang lain.
  • Berapakah bilangan akaun pakej Berlian yang boleh dibuka oleh pendeposit yang sama?
  • Terhad kepada empat (4) akaun pakej Berlian sahaja iaitu dua (2) dari HLMT, satu (1) dari GETB dan satu (1) dari TIFB.
  • Apakah had umur perlindungan untuk pendeposit Simpan SSPN Plus?
  • Sehingga sehari sebelum mencapai 70 tahun (GETB) atau 66 tahun (HLMT dan TIFB).
  • Adakah simpanan yang terkumpul boleh dikeluarkan pada bila-bila masa?
  • Simpanan hanya boleh dikeluarkan selepas tiga (3) tahun dari tarikh pembukaan akaun dan jumlah minimum yang perlu ada di dalam akaun adalah sebanyak RM1,000. Selepas tempoh tiga (3) tahun tersebut, pendeposit boleh membuat pengeluaran pada bila-bila masa dan masih tertakluk dengan syarat baki minimum yang ditetapkan.
  • Bagaimanakah kaedah pengeluaran simpanan?
  • Pendeposit boleh membuat permohonan secara online di dalam portal myPTPTN atau mengunjungi pejabat cawangan PTPTN.
  • Adakah simpanan akaun SSPN Plus bagi pendeposit Islam telah dibuat bayaran zakat simpanan?
  • Pendeposit SSPN Plus perlu mengeluarkan zakat ke atas simpanan akaun SSPN Plus di mana-mana Pusat Pungutan Zakat. PTPTN hanya membayar zakat perniagaan ke atas pendapatan pelaburan bersih selepas mengambil kira perbelanjaan.
  • Apakah yang akan terjadi sekiranya pendeposit gagal membuat bayaran deposit bulanan?
  • Pendeposit diberikan tempoh ihsan selama 60 hari untuk menyelesaikan tunggakan tersebut. Sekiranya tiada sebarang bayaran diterima selepas tempoh ihsan, akaun akan ditutup serta-merta.
  • Apakah yang akan berlaku sekiranya penerima manfaat meninggal dunia?
  • Sekiraya penerima manfaat meninggal dunia, akaun akan ditutup dan semua manfaat takaful akan terbatal kecuali manfaat khairat kematian anak tersebut.
  • Adakah PTPTN akan memberikan apa-apa penentusahan keahlian setelah pembukaan akaun?
  • Pendeposit akan menerima e-mel dari PTPTN memaklumkan nombor akaun Simpan SSPN Plus. Seterusnya, Syarikat Pengendali Takaful akan menghantar e-mel sijil takaful dalam tempoh 30 hari dari tarikh pembukaan akaun.
  • Adakah bakal pendeposit boleh membuka akaun SSPN Plus jika telah mempunyai penyakit kritikal?
  • Boleh, tetapi terhad kepada Pakej Intan, Delima, Topas, Zamrud dan Nilam sahaja, serta tertakluk kepada tempoh menunggu yang ditetapkan oleh Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih. Permohonan bagi Pakej Berlian akan ditolak.
  •  

 

 

  • Adakah elaun kemasukan hospital terhad dalam Malaysia sahaja?
  • Tidak. Elaun kemasukan hospital tidak terhad dalam Malaysia sahaja. Elaun juga layak dituntut bagi kemasukan hospital di luar negara selagi kunjungan tersebut bukan atas tujuan perubatan (kecuali Singapura).
  • Adakah perlindungan diberikan kepada anggota beruniform?
  • Ya, selagi anggota beruniform tersebut tidak terlibat secara langsung dalam tugasan peperangan atau rusuhan dan rusuhan awam sama ada diisytihar atau tidak.
  • Jika pendeposit telah mempunyai akaun Simpan SSPN Plus untuk anak-anaknya, bolehkah pendeposit membuka akaun Simpan SSPN Plus untuk diri sendiri?
  • Boleh. Pendeposit boleh membuka akaun untuk diri sendiri, tertakluk kepada syarat pembukaan akaun yang ditetapkan.
  • Bolehkah pendeposit yang membuka akaun untuk diri sendiri, membuka lebih daripada satu akaun dengan pakej yang sama atau berlainan?
  • Tidak boleh. Pendeposit yang membuka akaun untuk diri sendiri hanya boleh mempunyai satu akaun sahaja.
  • Adakah penerima manfaat boleh mempunyai lebih dari satu akaun sama ada pakej yang sama atau pakej yang berlainan?
  • Ya. Penerima manfaat boleh mempunyai lebih dari satu akaun dengan syarat akaun dibuka oleh pendeposit berbeza sama ada ibu atau bapa atau penjaga yang sah (ibu bapa tiri/ ibu bapa angkat).
  • Bagaimanakah pembukaan akaun Simpan SSPN Plus untuk anak jagaan yang sah?
  • Pembukaan akaun untuk anak jagaan yang sah sama ada anak angkat atau anak tiri hanya boleh dibuka di kaunter pejabat cawangan PTPTN dengan membawa salinan dokumen berikut:
    1. Anak Angkat: Surat Akuan Berkanun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Sijil Anak Angkat JPN
    2. Anak Tiri: Sijil Nikah Ibu Bapa dan Sijil Kelahiran Anak
  • Adakah pendeposit boleh menukar pakej akaun?
  • Tidak boleh. Pendeposit hendaklah menutup akaun sedia ada dan membuka akaun yang baharu dengan pakej yang hendak dipilih.
  • Adakah pendeposit akan dilindungi sekiranya terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan ilat kekal dan menyeluruh atau kematian jika akaun baru dibuka dalam tempoh 24 jam?
  • Ya. Pendeposit akan dilindungi serta-merta bagi manfaat takaful disebabkan kemalangan.
  • Jika berlaku kematian pendeposit dan beliau mempunyai akaun Simpan SSPN Plus untuk 5 orang anaknya, adakah waris akan menerima manfaat kematian bagi kelima-lima akaun atau bayaran manfaat hanya dibuat ke atas salah satu akaun anak yang dibuka pendeposit?
  • Manfaat kematian akan dibayar bagi kelima-lima akaun yang dibuka oleh pendeposit.
  • Siapakah yang boleh membuat tuntutan bagi kematian pendeposit?
  • Waris atau Penama (yang didaftarkan di PTPTN) boleh membuat tuntutan.
  • Apakah syarat tuntutan khairat kematian bagi pasangan atau anak?
  • Pasangan hendaklah memenuhi syarat berikut:
    1. Hubungan adalah sah dan diiktiraf dari segi undang-undang;
    2. Berumur 18 tahun sehingga sebelum mencapai had umur perlindungan 70 tahun (GETB) atau 66 (HLMT dan TIFB);
    3. Bagi tuntutan atas isteri (jika mempunyai lebih dari seorang isteri yang sah), khairat diberikan ke atas isteri yang mana meninggal dahulu.
    Anak hendaklah memenuhi syarat berikut:
    1. Sehingga 5 orang anak (GETB) atau 3 orang anak (HLMT dan TIFB);
    2. Hubungan sama ada anak kandung, anak tiri atau anak angkat yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

 

 

SSPN Plus
Buka Akaun